“Waktu ilmuku sering bertambah aku merasakan bahawa aku orang yang berotak tumpul. Semakin bertambah ilmuku, semakin bertambah pula pengetahuanku tentang kebodohanku” - Nasihat Imam Shafie
Pernah semasa undergraduate dulu saya melihat pensyarah saya Profesor X (dirahsiakan namanya untuk mengelak mengumpat) makan di kedai Kak Dah (sekarang sudah tiada, sudah jadi Padang Hoki, dekat KL Gate, UM) membaca sambil makan. Tangan kanan menyuap makanan dan tangan kiri memengang jurnal! Tanpa menghiraukan orang lain atau panas di bawah atap zink kedai tersebut. Ada juga kawan-kawan cerita mereka pernah melihat profesor ini bersila di antara rak-rak buku di library. Malah hari jumaat setiap minggu, bilik bertutup dan ada notis atas pintu bertulis “saya di library”. Kenapa profesor masih membaca? Tak cukup ilmu lagi ke?
Itu baru satu orang profesor, satu lagi profesor, Profesor Y. Sambil makan di kafe fakulti, hisap cerut (jangan amalkan ni!) dan baca sesuatu. Saya pernah tanya pelajarnya apa yang dibaca? Mungkin anda tidak percaya apa yang dibaca ialah satu bab dari buku Matrikulasi! Rupanya disamping membaca jurnal, dia juga membaca bahan yang boleh diklasifikasikan sebagai asas (fundamental, basic concept). Baginya apabila mempunya asas yang kukuh, semua masalah boleh diatasi. Umpama mempunyai tapak yang kukuh, tak kisahlah rumah banglo, bangunan atau landasan kapal terbang A380 pun boleh dibina di atasnya. Malah penulisan jurnalnya dapat menghubungkan bahagian fizikal dan teori.
Buku boleh dikoyak-koyak kepada setiap bab. Jika sayang sangat nak koyak buku, boleh photostat setiap bab. Jangan terlalu sayangkan buku sampai disimpan cantik-cantik atas rak! Buku rosak sebab tidak guna. Setiap helaian photostat boleh distaple mengikut bab masing-masing. Bab yang nipis ini senang dibawa ke mana-mana untuk dibaca. Sambil tunggu bas, tunggu mamak siapkan teh tarik ataupun tunggu bos-bos kita habiskan ucapan panjangnya yang entah apa-apa (tapi awas jangan sampai bos nampak!).
Apabila ada group presentation oleh pelajar, saya akan tanya mula-mula sekali ialah berkenaan konsep (detail group presentation ini akan dibincang dalam Bab Group Presentation). Apa yang anda faham tentang konsep eksperimen/ujian ini? Apakah konsep teori berkenaan ujian ini? Apakah konsep fizikal berkenaan ujian ini? Apakah yang terjadi dari pandangan makro (mata kasar) dan micro (atomic level)?
Contohnya: Apakah konsep dalam ujian tensile? Mestilah jawapannya ialah daya-daya bertentangan dikenakan ke atas sampel. Ujian ini dijalankan hingga sampel tersebut menunjukkan tanda-tanda kegagalan i.e. sampel putus. Bagi pelajar yang banyak membaca, daripada pandang mata kasar dan andaian teori sahaja, pasti boleh menggagak sifat-sifat sampel ini tanpa merujuk kepada graf stess-strainnya.
Inilah pentingnya asas-asas yang kukuh. Jika pelajar faham tentang konsep-konsep yang berkaitan dengan eksperimen/ujian yang dijalankan, semuanya akan jadi mudah. Tak kisah sampel apa pun dibuatnya, pasti anda boleh berfikir secepat kilat!
Begitu juga dengan penggunaan alat/mesin. Adakah kita betul-betul faham bagaimana alat ini berfungsi. Atau pernahkah terfikir tentang mekanisma sesuatu alat itu berfungsi? Cuba ambil satu alat, katakan FTIR. Pernahkan kita terfikir kenapa FTIR boleh digunakan sebagai alat untuk pencirian bahan. Apakah akan terjadi kepada sifat-sifat FTIR jika bahan lain ditambah kepada bahan asal?
Masalah bagi pelajar yang malas berfikir, mereka akan buat semua ujian menggunakan alat-alat yang ada di makmal. Mereka hanya mengikut apa yang orang lain buat. Mereka cuma ulangi ujian hanya berdasarkan jurnal atau tesis senior kerana tak tahan dengar supervisor mengamuk sebab tiada results baru. Katakan dalam makmal mempunyai 10 alat, pasti 10 ujian juga dibuatnya! Bila ditanya kenapa buat ujian ini? Apa kaitan ujian ini dengan ujian itu? Tersengeh-sengeh tak tau jawab.
Bagi pelajar Sains dan Kejuruteraan Bahan, buku seperti ‘Materials Sciences and Engineering: An Introduction – W. Callister, Foundations of Materials Science and Engineering – W. Smith’ patut dibaca berulang-ulang untuk pengukuhan asas. Bagi pelajar yang mempunyai masa yang lebih bolehlah buka balik buku-buku peringkat A-Level, Matrikulasi, STPM etc. Jangan anggap bila anda sudah daftar sebagai pelajar PhD, buku-buku ini telah tidak releven lagi bagi anda. Atau cuba tanya anda, apa beza lattice dan motif dalam bab asas atomic structure... huh?
Garisan bawah
Tingi-tinggi bangunan KLCC, pasti mempunyai pasak benam yang kuat.
No comments:
Post a Comment